Isnin, 3 Ogos 2009

warkah baru


Sudah jauh aku melangkah dan siapa sangka aku telah tiba ke destinasi yang baru pula kali ini. Destinasi yang pastinya merupakan lembaran baru dan aliran baru setelah aku tamat menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Dan, kini aku bergelar sebagai pekerja. Agak kekok memulakan agenda baru sebagai seorang pekerja, terutamanya menyesuaikan kembali budaya dan gaya hidup baru. Semuanya sudah berubah. Berubah mengikut masa, keperluan dan keadaan yang bergerak di atas paksinya sendiri. Siapa sangka, perubahan boleh berlaku dalam kehidupan. Aku percaya hampir semua orang kalau boleh mengaharapkan tiada perubahan berlaku dalam hidup mereka (terutamanya bagi mereka yang sedia ada senang) dan kehidupan boleh diteruskan seperti biasa sampai bila-bila. Tapi bila difikirkan kembali, kehidupan tanpa perubahan itu pastinya membosankan kerana kadang kala pembaharuan juga membawa maksud kebaikan. Namun, tiada perubahan yang ingin aku maksudkan di sini ialah kita tidak perlu berdepan dengan karenah situasi baru yang membebankan. Alangkah bagusnya juga jika semua kenangan, memori dan pengalaman manis dahulu kekal bersemi sehingga kini, maka tiadalah tugas pakar kaunseling memotivasikan orang ramai yang stress dengan perkara-perkara baru dalam kehidupan. Bila difikirkan kembali terlalu banyak pula pro dan kontra dalam isu pembaharuan ini. semakin mahu aku ulasinya, semakin aku sendirian terkandas antara garisan neutral. Tiba-tiba aku terfikir, semua perkara yang berlaku dalam kehidupan kita ini sebenarnya telah pun ditentukan oleh Yang Maha Kuasa dengan membawa tujuan serta maksud tertentu. Hanya kita sebagai insan milik Allah kadang kala lupa dan alpa tujuan setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan tidak kiralah perkara baik mahupun buruk. Rupa-rupanya, ia adalah lumrah bagi kehidupan manusia manakala qada' dan qadar adalah milik Allah s.w.t. masyaAllah...!